Jumaat, 6 Julai 2012

Kristal Gunung Baling Bernilai Tinggi

Gunung Baling sememangnya terkenal bukan sahaja di daerah ini, tetapi seluruh Malaysia. Gunung setinggi kira-kira 450 meter ini sering menjadi tumpuan mereka yang gemarkan aktiviti lasak antaranya pendakian mahupun perkhemahan.
Air sungai yang mengalir di bawah kaki gunung dan pemandangan indah flora dan fauna di sekelilingnya pasti memberikan kedamaian kepada sesiapa yang menjejakkan kaki ke daerah ini.



Mengikut sejarah, kawasan pergunungan ini sering menjadi tumpuan penduduk tempatan bagi mendapatkan hasil baja tahi kelawar dan ia masih diteruskan sehingga kini walaupun agak berisiko.

Gunung yang wujud sejak ratusan ribu tahun ini turut membentuk bongkah kristal yang pastinya memukau pandangan masyarakat sehingga ada yang sanggup mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk mendapatkannya.

Batu kristal bernilai tinggi

Jangka masa pembentukan batu yang lama, selain pencarian yang berisiko menjadikan nilai harga batu kristal ini melambung tinggi mengikut corak dan warna batu itu.
Mohd Khir Johari Mohd Zain, 47, dari Kampung Lubuk Pedati merupakan seorang pencari batu kristal di dalam Gunung Baling sejak 15 tahun dulu.

Pekerjaan yang sekadar suka-suka itu bertukar menjadi pekerjaan utama setelah mendapati batu kristal itu mempunyai keunikan tersendiri, selain harga pasaran yang lumayan.

Lebih 90 peratus lubang gua diteroka

Ayah kepada dua anak ini, telah meneroka lebih 90 peratus lubang gua di dalam Gunung Baling untuk mencari batu kristal yang berkualiti tinggi sejak 15 tahun dahulu.

Menurutnya, bukan semua lubang gua mempunyai batu kristal berikutan jangka masanya lama iaitu mencecah sehingga ratusan tahun sebelum membentuk batu kristal yang cantik.

“Malah, ia perlu diambil dengan penuh berhati-hati kerana sedikit kerosakan pada batu kristal akan menjejaskan kualiti batu ini,” katanya kepada Sinar Harian.

katanya, dia bersama rakannya mengambil masa sekurang-kurang sejam sehingga dua jam untuk mengeluarkan sebongkah batu kristal di dalam gunung itu.

“Hanya satu sehingga dua bongkah batu sahaja dapat diambil dalam sehari untuk mengelakkan sebarang kerosakan pada batu. Kalau kami ambil banyak, sukar untuk turunkan batu ke kaki gunung.
“Sebab itu, batu ini perlu diambil dalam jumlah kecil untuk memudahkan saya dan rakan membawanya turun dengan selamat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berbahaya, berisiko

Mohd Khir berkata, pekerjaan mencari batu ini memang bahaya dan berisiko, terutama batu yang berada di kawasan curam pergunungan, jika tersilap langkah, sebarang kemungkinan boleh berlaku.
“Sebelum ini, terdapat kes penduduk maut akibat terjatuh dari gunung semasa mencari batu kristal ini.

“Alhamdulillah, setakat ini, saya belum pernah berhadapan dengan situasi cemas melainkan sakit belakang akibat menanggung batu ini,” katanya.

Hasil lumayan

Katanya, batu kristal ini mempunyai nilai harga yang sangat lumayan hingga mencecah ribuan ringgit hanya untuk sebongkah batu.

“Kebanyakan pembeli datang dari luar daerah, terutama dari Pulau Pinang. Masyarakat cina amat menyukai batu ini kerana mereka mempercayai batu kristal memberikan nasib baik dalam kehidupan mereka.

“Namun begitu, kebanyakan pembeli adalah mereka yang berminat dengan sifat semula jadi batu ini. Namun, ia bergantung kepada setiap individu untuk menilai batu ini. Ada yang suka kerana warnanya dan ada yang suka sebab bentuknya,” kata Mohd Khir.

Pengalaman, kejadian pelik

Pekerjaan di dalam gua mahupun hutan sering dikaitkan dengan kejadian mistik, tidak terkecuali Mohd Khir yang turut sama pernah merasai pengalaman itu.

“Bagi saya itu perkara biasa. Semua pendaki gunung pasti mempunyai pengalaman sendiri. Contohnya mendengar jeritan orang di dalam gunung, malah turut pernah berjumpa dengan kelibat lembaga.

“Namun, saya hanya menganggap itu sebagai ujian kerana saya percaya kepada niat iaitu hanya untuk mencari rezeki,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan